Tuesday, 13 February 2018 |

النصيحة

Kisah Luqman disebut di dalam Al-Quran dengan satu surah khas di atas namanya. Nasihat-nasihatnya menjadi hikmah kepada semua yang bergelar anak.
Berikut adalah nasihat-nasihat penting Luqman kepada anaknya yang boleh dijadikan panduan kepada kita semua:

Membuang Sifat Angkuh Dan Menyemai Kerendahan Hati

Firman Allah s.w.t yang bermaksud:
“Dan janganlah kamu memalingkan mukamu dari manusia (kerana sombong) dan janganlah kamu berjalan di muka bumi dengan angkuh. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang sombong lagi membanggakan diri.”Surah Luqman:18
Sifat angkuh atau takbur adalah sifat yang amat tercela. Seseorang yang takbur sering merasakan dirinya lebih baik daripada orang lain dan memandang rendah terhadap mereka.
Mereka mudah sahaja berasa marah untuk hal-hal kecil kerana merasakan dirinya sempurna daripada kesilapan.
Itulah sebabnya Allah membalas mereka yang bersifat angkuh walaupun sekadar atom ke dalam api neraka.
Ingatlah sesungguhnya sifat sombong dan kebesaran itu adalah hak mutlak Allah s.w.t yang telah menciptakan alam ini. Firman Allah s.w.t yang bermaksud:
“Dan sederhanalah kamu dalam berjalan dan lunakkanlah suaramu. Sesungguhnya seburuk-buruk suara ialah suara keldai.”Surah Luqman:19

Tunaikan Solat, Lakukan Kebaikan

Nasihatilah anak-anak agar isitqamah dalam amal kebaikan tanpa mengira besar atau kecil kebaikan itu. Ini kerana setiap satu kebaikan tanpa mengira besar atau kecilnya ia tetap akan dibalas oleh Allah s.w.t.
Firman Allah s.w.t yang bermaksud:
(Luqman berkata):“Hai anakku, sesungguhnya jika ada (sesuatu perbuatan) seberat biji sawi,dan berada dalam batu atau di langit atau di dalam bumi, nescaya Allah akan mendatangkannya (membalasnya). Sesungguhnya Allah Maha Halus lagi Maha Mengetahui.”Surah Luqman:16    
  Di dalam solat, kita berinteraksi dengan Allah, maka Allah dirasakan begitu dekat      dengan diri kita. Solat itu pula bukanlah dilakukan sekadarnya.

“Hai anakku, dirikanlah solat dan suruhlah (manusia) mengerjakan yang baik dan cegahlah (mereka) dari perbuatan yang mungkar dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu. Sesungguhnya yang demikian itu termasuk hal-hal yang diwajibkan (oleh Allah).Luqman:17

0 comments:

Post a Comment